Gangguan bekalan air: Banyak kilang di P Pinang tutup operasi 2 hari

Gangguan bekalan air: Banyak kilang di P Pinang tutup operasi 2 hari

Gangguan bekalan asas itu dijangka berlaku empat hari mulai 10 Jan.

Kebanyakan kilang akan menutup operasi mereka pada hari pertama dan kedua semasa gangguan air berlaku. (Gambar Wikipedia)
GEORGE TOWN:
Dalam tempoh bekalan air di Pulau Pinang terganggu selama empat hari mulai 10 Jan ini, kebanyakan pengilang dalam kategori perusahaan kecil sederhana (PKS) dijangka menghentikan operasi mereka sekurang-kurangnya selama dua hari.

Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Lee Teong Li berkata tindakan menghentikan operasi buat sementara waktu terpaksa diambil kerana kebanyakan kilang itu memerlukan penggunaan air yang banyak dalam operasi hariannya.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dan maklum balas terhadap pemilik kilang berkenaan yang menjadi ahli FMM, kebanyakan kilang itu akan menutup operasi mereka pada hari pertama dan kedua semasa gangguan air berlaku.

“Ini kerana kebanyakkan ahli kami terdiri daripada pemilik kilang yang terlibat dalam industri makanan, ‘metal fabrication’, ‘mix chemical’, ‘metal polishing’ dan sebagainya, yang menggunakan air yang banyak ketika beroperasi. Hari ketiga pula kilang-kilang akan berada dalam tempoh ‘standby’ untuk lihat sama ada bekalan air sudah pulih atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi pada 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan, untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.