
Felo kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, keputusan Zahid hanya memeterai perjanjian selepas DUN dibubarkan demi mengekalkan hubungan partinya dengan blok Sabah dalam pentadbiran Anwar Ibrahim.
Beliau dan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah senada keputusan Zahid tidak didorong “Langkah Dubai”, merujuk perbincangan didakwa diadakan di Emiriah Arab Bersatu untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
“Saya sangat percaya kenyataan terbaharu Zahid (bukan) berdasarkan Langkah Dubai. (Ia) lebih kepada langkah strategik untuk memastikan Umno boleh (kekal) berkuasa selepas PRN akan datang,” kata Jeniri kepada FMT.
Lee pula berpendapat Zahid tidak mahu “menutup peluang kerjasama dengan prospek lain” dan berminat mengelakkan “permusuhan atau prasangka” buat masa ini.
Pada 14 Dis lalu, Presiden Warisan, Shafie Apdal mendakwa Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bersetuju dengan pakatan dua parti itu bagi melawan GRS pada PRN.
Tetapi, dakwaan Shafie dinafikan Timbalan Ketua Umno Sabah, Rahman Dahlan yang berkata, mereka belum memutuskan pakatan pilihan raya.
Penggal kerajaan semasa Sabah akan tamat pada Oktober 2025. Tetapi, Ketua Menteri, Hajiji Noor membayangkan PRN mungkin diadakan tahun ini.
Selasa lalu, Sinar Harian memetik Zahid sebagai berkata, Umno terbuka kepada pakatan dengan mana-mana parti untuk PRN Sabah, tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan.
Beliau turut mengesahkan Umno Sabah mempunyai autonomi memutuskan pakatannya, namun sebagai pengerusi Barisan Nasional, beliau mesti dimaklumkan mengenai keputusan itu.
Lawatan Zahid ke Sabah baru-baru ini mencetuskan khabar angin mengenai pergolakan politik di negeri itu. Tetapi, Setiausaha Politiknya, Jamal Nerubi menafikan perkara itu dengan berkata, lawatan itu sempena rumah terbuka Krismas anjuran Presiden Upko, Ewon Benedick.
Jeniri berkata, lawatan Zahid ke negeri Borneo itu adalah cubaan untuk “menguji suhu” di lapangan berikutan laporan kerjasama Umno Sabah dan Warisan.
“Beliau perlu tampil dengan kenyataan ‘betul’ dan keputusan ‘betul’. Jika tidak, ia akan menjerat Umno dan saya fikir mereka (mungkin) kalah dalam PRN akan datang.”
Jeniri dan Lee bersetuju kenyataan presiden Umno itu akan memberi “implikasi besar” kepada Shafie dan Warisan.
Lee berkata, kenyataan Zahid itu menunjukkan kerjasama Warisan dan Umno Sabah masih dirunding dan belum mencapai kata sepakat.