Status representasi Rosmah 1 Mac ini

Status representasi Rosmah 1 Mac ini

Ia adalah representasi ketiga dikemukakan oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Rosmah Mansor mengemukakan representasi untuk menggugurkan 17 pertuduhan terhadapnya berkaitan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Mac depan untuk mengetahui perkembangan mengenai representasi baharu yang dikemukakan oleh Rosmah Mansor bagi menggugurkan 17 pertuduhan terhadapnya.

Representasi itu adalah berkaitan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan representasi yang dikemukakan oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu pada Disember lepas masih dalam penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Pihak kami masih perlu mendapatkan pernyataan daripada beberapa individu bagi melengkapkan siasatan sebelum memuktamadkan keputusan representasi itu,” kata Akram.

Terdahulu, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana diberi cuti sakit dan memohon agar prosiding hari ini ditangguhkan.

Akram tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah sepatutnya menyambung pendengaran hujahan permohonan Rosmah bagi membatalkan pertuduhan terhadapnya.

Ini adalah representasi ketiga Rosmah selepas yang pertama dan kedua, masing-masing dihantar pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lepas, masih belum diputuskan oleh AGC.

Pada 4 Okt 2020, Rosmah memfailkan notis usul agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Rosmah, 72, didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 serta LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos tahun lepas dan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.