Disyaki lantik syarikat isteri, adik bekal alat sukan, 3 penjawat awam direman

Disyaki lantik syarikat isteri, adik bekal alat sukan, 3 penjawat awam direman

Suspek dipercayai guna kedudukan dan jawatan beri kontrak bekal alatan sukan berjumlah RM80,000.

Tiga penjawat awam itu didakwa memberi kontrak membekal alatan sukan untuk sekolah di Labuan pada 2018 hingga 2021. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Tiga penjawat awam direman lima hari selepas disyaki menggunakan kedudukan dan jawatan dengan melantik syarikat milik ahli keluarga bagi kerja pembekalan alatan sukan dianggar RM80,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata siasatan mendapati dua syarikat dilantik masing-masing dimiliki isteri, dan adik melibatkan penjawat awam berkenaan.

Katanya, semua suspek ditahan sekitar 7 hingga 8 malam tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Labuan selepas memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati kontrak ini membabitkan kerja-kerja pembekalan alatan sukan untuk sekolah-sekolah di Labuan sekitar tahun 2018 hingga 2021,” katanya.

Perintah reman semua suspek berusia lingkungan 40an itu bermula hari ini sehingga 28 Jan selepas mendapat kebenaran Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad di Mahkamah Majistret Labuan, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.