Kelas isi rumah ikut pendapatan tak relevan lagi, kata Asyraf

Kelas isi rumah ikut pendapatan tak relevan lagi, kata Asyraf

Pengerusi Mara itu berkata, pengelasan harus mengambil kira aspek tanggungan dan tempat tinggal.

Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terma B40, M40 dan T20 yang digunakan secara meluas tidak wajar diukur dari aspek pendapatan isi rumah semata-mata.
PETALING JAYA:
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki berkata, definisi pengelasan isi rumah berdasarkan pendapatan perlu ditakrifkan semula, dengan mengambil kira aspek tanggungan dan lokaliti tempat tinggal.

Katanya, istilah B40, M40 dan T20 yang digunakan secara meluas tidak wajar diukur dari aspek pendapatan isi rumah semata-mata.

“Perlu juga ambil kira tanggungan seperti anak-anak, orang tua dan faktor bandar-luar bandar. Mara akan mulakan,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, timbul polemik berhubung kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) apabila Asyraf mendakwa ada individu menipu pendapatan untuk dikategorikan dalam golongan B40 supaya anak mereka diterima ke institusi itu.

Dasar agensi itu menetapkan kuota 60% pelajar MRSM dalam kalangan B40, manakala selebihnya mereka yang layak dan lulus ujian kemasukan dalam kalangan M40 dan T20.

Menjengah di ruang komen, majoriti pengguna media sosial bersetuju dengan cadangan itu dan menyifatkan pengelasan isi rumah berdasarkan pendapatan tidak lagi relevan.

Pengguna Facebook, Hidayah Esa meluahkan kekecewaannya apabila anak-anaknya sukar masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan MRSM kerana beliau dan suami bekerja sebagai guru.

“Bila suami isteri cikgu pun dah termasuk T20. Cikgu bukan kaya pun, tinggal di Felda, kampung. Anak-anak nak masuk SBP dan MRSM pun agak sukar sebab kuota yang kecil.”

Salwana Salleh pula berkata, M40 paling terkesan menerusi pengelasan itu, tambahan empat anaknya sedang melanjutkan pengajian pada peringkat tinggi dan memerlukan belanja yang banyak.

Warganet Firdaus Abdul Jamil berkata: “Sepatutnya definisi itu mengambil kira tanggungan, bukannya berdasarkan gaji saja. Kerajaan perlu mengkaji semula definisi B40, M40 dan T20.”

Secara umum, isi rumah berpendapatan RM5,250 sebulan dan ke bawah dikategorikan B40, manakala M40 antara RM5,251 hingga RM11,819 sebulan dan T20 merujuk golongan kaya dengan gaji dan pendapatan isi rumah melebihi RM11,820 sebulan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada pendapatan boleh belanja bersih isi rumah bermula tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.