
Bagaimanapun, Bastian Pius Vendargon berkata lembaga itu mempunyai tanggungjawab moral untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, penting bagi FTPB memberikan “sebab munasabah dan telus” mengenai keputusannya, kerana ia adalah kes diketahui secara meluas dan penting.
“Ini bukan kes biasa melibatkan seseorang yang melakukan pembunuhan dan kemudian diampunkan selepas 20 tahun.
“Ini adalah kes kepentingan awam dan ia melibatkan dana awam. Sebahagian daripada wang itu telah ditemui di Amerika Syarikat (AS) dan tempat lain. Jadi, ini menimbulkan minat orang ramai. Perlu ada penjelasan sewajarnya,” katanya kepada FMT.
Peguam Charles Hector berkata, walaupun tiada keperluan undang-undang untuk FTPB mengumumkan keputusannya secara terbuka, ketelusan dan akauntabiliti adalah penting dalam sistem demokrasi.
“Rakyat menuntutnya. Mereka tidak mahu ‘rahsia’ kerana perlakuan sedemikian menimbulkan keraguan. Kenapa takut untuk telus dan jujur kepada rakyat?” katanya.
Beliau juga mengesyorkan semua keputusan FTPB didedahkan kepada umum dan disertakan dengan penerangan ringkas.
“Ia sepatutnya berada di laman web FTPB. Memandangkan pengampunan boleh dipohon oleh orang lain, mereka yang telah memohon juga harus mendapat jawapan.”
Sementara itu, seorang lagi peguam, Kitson Foong berkata FTPB mempunyai kuasa untuk tidak mendedahkan maklumat kepada orang ramai, terutama jika ia melibatkan soal privasi seperti isu kesihatan seseorang individu.
“Jika seorang raja mengampuni kamu, dia mengampuni kamu. Sama seperti zaman dongeng dahulu kala. Pendapat umum itu soal lain.
“Tetapi kita tidak diperintah oleh pendapat umum. Kita diperintah oleh mahkamah undang-undang dan perlembagaan.”
Timbul khabar angin mengatakan Najib akan diberikan pengampunan susulan laporan FTPB bermesyuarat di Istana Negara pada Isnin.
Keesokannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, yang menganggotai lembaga, mengesahkan satu mesyuarat diadakan tetapi tidak mendedahkan jika permohonan Najib dibincangkan. Beliau berkata kenyataan daripada lembaga akan dikeluarkan.