
Malah kenyataan “sudah tiba masanya” exco Melaka itu juga menimbulkan persoalan sama ada ia pendirian berkaitan kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH) serta beberapa komponen lain dalam kerajaan perpaduan.
“Kita dipermainkan akhirnya, jangan ingat kami tidak tahu apa yang berlaku…sudah tiba masanya,” kata Akmal di Facebooknya kira-kira sejam selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib dipendekkan kepada enam tahun manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Keputusan itu bermakna permohonan untuk mendapatkan pengampunan dan pembebasan serta merta bekas perdana menteri itu gagal.
Ketika dihubungi FMT, Akmal yang Adun Merlimau berkata pihak tertentu pasti mengetahui maksud di sebalik hantaran di media sosialnya.
“Siapa makan cili, dia akan rasa pedasnya,” katanya namun enggan mengulas lanjut individu dimaksudkannya.
Akmal juga enggan mengulas keputusan memendekkan tempoh hukuman penjara dan denda terhadap Najib.
Pada 28 Julai 2020, Najib disabit oleh Mahkamah Tinggi kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.
Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.
Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.