Tak perlu majlis graduasi ‘5 bintang’, menteri beritahu sekolah

Tak perlu majlis graduasi ‘5 bintang’, menteri beritahu sekolah

Fadhlina Sidek berkata sekolah patut berunding dengan ibu bapa dan mengambil kira aduan mengenai majlis graduasi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggalakkan majlis graduasi yang sederhana tetapi meriah sebagai penghargaan kepada pelajar.
KAJANG:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa pihak sekolah bersederhana ketika mengadakan majlis graduasi untuk pelajar, susulan rungutan ibu bapa bahawa majlis sedemikian diadakan di hotel mewah.

Beliau berkata, pihak sekolah patut berunding dengan ibu bapa dan mengambil kira aduan mengenai majlis graduasi itu.

“Kita galakkan majlis yang sederhana tapi meriah dan penuh penghargaan kepada anak-anak kita. Yang penting majlis dilaksanakan dengan kesederhanaan untuk meraikan semua (pelajar).

“Jadi perbincangan dengan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) sangat penting, kena diselesaikan di sekolah, kalau ada bantahan kena diambil pandangan,” katanya selepas majlis di SMJK(C) Yu Hua.

Terdahulu, tular rungutan seorang ibu tentang keputusan sekolah mengadakan majlis graduasi di hotel lima bintang. Pelajar dan ibu bapa masing-masing perlu membayar RM200 and RM150 untuk menghadiri majlis tersebut, menurutnya.

Wanita tersebut, pelakon Adrea Abdullah berkata, majlis itu tidak perlu diadakan begitu mewah dan ia menjadi beban kewangan yang tidak wajar.

Sementara itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) belum memutuskan sama ada akan melaksanakan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dalam sukatan pelajaran kebangsaan 2027, walaupun beliau terbuka menerima cadangan semua pihak.

Beliau berkata, fokus sukatan pelajaran 2027 itu adalah melaksanakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), mempromosikan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); mengukuhkan kemahiran bahasa Inggeris serta menambah baik kemahiran digital pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.