Fadhlina arah teliti, tambah baik subjek pendidikan moral

Fadhlina arah teliti, tambah baik subjek pendidikan moral

Menteri pendidikan juga ucap terima kasih kepada Sri Murugan Centre kerana bangkit isu itu dan proses pemarkahan kepada beliau.

Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Lembaga Peperiksaan akan mengkaji dan menambah baik subjek pendidikan moral susulan kebimbangan ibu bapa dan masyarakat.
PETALING JAYA:
Menteri pendidikan Fadhlina Sidek mengarahkan subjek pendidikan moral diteliti dan ditambah baik susulan aduan berhubung pemarkahan kertas peperiksaan SPM 2025.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengarah Sri Murugan Centre (SMC), Surain Kanda, kerana membangkitkan isu tersebut kepada kementeriannya, sambil menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan komuniti dalam menambah baik pendidikan, lapor New Straits Times.

“Isu pendidikan moral dibangkitkan, dan mengambil kira kebimbangan ibu bapa serta masyarakat, saya mengarahkan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk mengkaji dan menambah baik subjek ini,” katanya pada program Kalvi Yutham 2026 yang diadakan di SJKT Castlefield di Puchong.

Pada April lalu, aktivis pendidikan dilaporkan mahu bertemu Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan susulan aduan mengenai pemarkahan kertas pendidikan moral SPM 2025, dengan sebuah pusat tuisyen mendakwa tiada seorang pun pelajarnya memperoleh gred A bagi subjek itu.

Sebahagian pelajar yang cemerlang dalam subjek lain dilaporkan memperoleh gred lebih rendah bagi kertas pendidikan moral.

Naib Presiden MUDA, Siva Prakash, berkata aduan itu dibangkitkan oleh SMC, yang mendakwa ramai pelajar terlepas peluang ke program matrikulasi kerana dapat keputusan rendah bagi subjek tersebut menyebabkan mereka tidak mencapai syarat 10A.

Beliau berkata ramai pelajar dan ibu bapa mengadu subjek itu sukar untuk mendapat markah tinggi, terutama apabila pelajar yang cemerlang dalam kertas lain hanya memperoleh gred B atau lebih rendah dalam subjek berkenaan.

Siva, bekas pengurus bagi lembaga peperiksaan UK Edexcel, berkata masalah utama ialah pelajar dan guru tidak dimaklumkan secara jelas bagaimana gred akhir ditentukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.