MCA dakwa 11 pelajar 10A SPM tak ditawar matrikulasi

MCA dakwa 11 pelajar 10A SPM tak ditawar matrikulasi

Presidennya Wee Ka Siong berkata Kementerian Pendidikan sebelum ini beri jaminan pelajar cemerlang diterima masuk secara automatik.

Wee Ka Siong
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata sekretariat Pemuda MCA menerima 11 aduan daripada pelajar cemerlang 10A SPM yang tercicir kemasukan ke program matrikulasi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MCA menggesa kerajaan menerima kemasukan 11 pelajar cemerlang SPRM yang didakwa tercicir daripada program matrikulasi.

Presiden MCA Wee Ka Siong, berkata pemimpin kerajaan sebelum ini menjanjikan bahawa pelajar yang memperoleh 10A dalam SPM akan diterima masuk secara automatik ke program matrikulasi.

Katanya, kerajaan juga mengumumkan bahawa seramai 6,717 pelajar yang mencapai 10A dalam SPM 2025 akan menerima tawaran automatik.

“Bagaimanapun, sekretariat Pemuda MCA masih menerima 11 aduan daripada pelajar cemerlang 10A yang tercicir, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap sistem yang dikatakan ‘automatik’ ini.

“Apa yang sebenarnya berlaku? Bukankah mekanisme automatik sepatutnya bebas daripada kesilapan? Bagaimana keciciran seperti ini boleh berlaku?” katanya di Facebook.

Wee berkata aduan yang diterima Pemuda MCA mungkin hanya sebahagian kecil sahaja, memandangkan parti-parti politik lain juga ada yang tampil membantu pelajar dalam proses rayuan.

Beliau menggesa kerajaan agar menunaikan komitmennya serta membetulkan kelemahan atau kecuaian itu, supaya pelajar cemerlang SPM 10A yang tercicir dapat memperoleh tempat yang sewajarnya.

Pada 8 April, Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa semua calon SPM 2025 yang memperoleh 10A dan ke atas serta memohon program matrikulasi akan ditawarkan tempat.

Kementerian berkata tawaran automatik itu diberikan kepada semua calon yang memohon tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.