Bicara kes perunding tipu RM3.3 juta ditetap 8, 9 Ogos

Bicara kes perunding tipu RM3.3 juta ditetap 8, 9 Ogos

Mahkamah Sesyen turut memaklumkan enam saksi akan memberikan keterangan dalam prosiding itu.

Tertuduh, Johnathan Wong Futt Po, 40, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan menipu seorang lelaki berkaitan urusan mendapatkan lesen pelaburan melibatkan kerugian wang RM3.3 juta, dua tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 8 dan 9 Ogos depan sebagai perbicaraan membabitkan seorang perunding syarikat yang berdepan pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan urusan mendapatkan lesen pelaburan melibatkan kerugian wang RM3.3 juta, dua tahun lalu.

Hakim Sabariah Osman menetapkan tarikh berkenaan dan turut memaklumkan enam saksi akan memberikan keterangan dalam prosiding itu.

Johnathan Wong Futt Po, 40, didakwa menipu lelaki berumur 45 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan melaksanakan urusan mendapatkan lesen pelaburan sedangkan tertuduh tidak mempunyai kapasiti menguruskannya.

Ia mendorong mangsa membuat pindahan wang berjumlah USD789,014 (RM3,316,431.40) yang dimasukkan ke dalam kripto e-dompet milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di KL Eco City, Jalan Bangsar.

Tertuduh yang berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi manakala peguam Rajpal Singh mewakili tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.