DBKL sedia rumah transit untuk mangsa kebakaran Flat Sri Sabah

DBKL sedia rumah transit untuk mangsa kebakaran Flat Sri Sabah

Ketika ini lima keluarga melibatkan 16 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara di SK Sri Cheras.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa melawat keluarga terjejas dalam kebakaran di Flat Sri Sabah yang kini ditempatkan di SK Seri Cheras.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan rumah transit untuk lima keluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran di tingkat 17 Flat Sri Sabah, Cheras, Sabtu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata rumah transit itu yang terletak di Flat Sri Johor boleh mula dihuni pada 15 Feb ini.

Menurut Zaliha, mangsa yang juga pemilik rumah dibenarkan tinggal di rumah transit itu selama enam bulan manakala penyewa pula boleh tinggal sehingga tiga tahun.

“DBKL akan membaiki rumah yang terbakar (manakala) bahagian dalam rumah unit yang dibeli atas tanggungjawab pembeli,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara di SK Seri Cheras.

Katanya lagi, ketika ini lima keluarga melibatkan 16 mangsa kebakaran itu dipindahkan ke PPS tersebut.

Zaliha turut mengingatkan penduduk untuk sentiasa menjaga harta awam terutamanya pili bomba kerana dibimbangi mendatangkan masalah ketika mahu digunakan saat kecemasan.

Sementara itu, Zaliha berkata pihaknya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bersama-sama membuat pemeriksaan sistem penggera kebakaran di flat bandaraya.

“Itu memang sepatutnya kita lakukan (periksa penggera keselamatan). Ada juga kita dengar semalam, ada masalah dengan paip bomba, yang itu kita akan kerjasama dengan Bomba dan KPKT,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.