Muhyiddin bayang tokoh baharu ketuai Bersatu dalam ‘1 atau 2 tahun’

Muhyiddin bayang tokoh baharu ketuai Bersatu dalam ‘1 atau 2 tahun’

Muhyiddin Yassin berkata peralihan kuasa akan berlaku menerusi proses pemilihan seperti dituntut perlembagaan parti.

Muhyiddin Yassin berkata Bersatu perlu mempercayai tokoh-tokoh muda berwibawa untuk mengelakkan parti itu berdepan sebarang kesukaran.
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membayangkan pemimpin baharu “mungkin” mengambil alih pentadbiran parti itu dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.

Menurut bekas perdana menteri itu, peralihan kuasa akan berlalu menerusi sistem demokrasi iaitu pemilihan parti seperti dituntut perlembagaan, sambil menegaskan tokoh muda berwibawa perlu diberi kepercayaan di sebalik permintaan beliau kekal.

“Ramai kata tak sama, Tan Sri adalah Tan Sri Muhyiddin. Kalau orang lain ambil alih jadi tidak sama. Saya kata betul tak sama tetapi kalau saya tidak mempercayai bahawa dalam parti ada tokoh-tokoh muda yang berwibawa nanti susah parti kita.

“Saya tidak boleh kekal lama dan saya fikir sudah sampai masa untuk satu barisan pimpinan baharu ambil alih. Saya fikir dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu menurut Sinar Harian.

Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu, November lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden parti, tetapi kurang 24 jam, mengubah pendirian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman, untuk “tidak mengecewakan ahli memerlukannya.”

Bersatu dijangka mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi dan bahagian pada tahun ini selepas ditunda 18 bulan sejak Mei 2023.

Setakat ini, belum ada petanda jelas Muhyiddin akan dicabar bagi kerusi presiden dan pencabarnya perlu menganggotai MPT sekurang-kurangnya dua penggal penuh.

FMT sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu memilih berdiam diri mengenai rancangannya pada pemilihan parti.

Sebelum ini, timbul cakap-cakap Setiausaha Agung Hamzah Zainudin disebut-sebut antara calon utama mengisi kerusi nombor satu parti jika Muhyiddin memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.

Namun sumber parti memberitahu ketua pembangkang itu sebenarnya masih tidak layak bertanding jawatan top 5 Bersatu kerana baru penggal pertama menganggotai MPT, merujuk pelantikan Hamzah sebagai setiausaha agung pada 26 Mac 2020 dan mengekalkannya selepas pemilihan parti empat bulan kemudiannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.