
Terdahulu, Lim berkongsi hantaran Rafizi berhubung jemputan yang turut dituju kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi dan bekas ketua penerangan Umno, Isham Jalil bagi mendengar idea membantu negara dari sudut ekonomi.
“Tapi, saya minta sesi berasingan dari yang dua sahabat lain supaya boleh ‘one vs one’ (eksklusif) dengan YB sebab banyak benda untuk bertanya.
“Bulan Mac katanya sebab dia perlu tempoh dua minggu sembuh selepas dia menjalani pembedahan tulang belakang,” kata Lim dalam catatan di Facebook.
Menerusi hantaran Facebook, Rafizi berkata sepatutnya audio siar kelolaannya akan bersiaran malam ini, bagaimanapun terpaksa ditunda selama dua minggu kerana terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang.
“Insya-Allah saya akan kembali semula ke pejabat dalam bulan Mac 2024 dan YBM akan ke udara semula,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata beliau telah menghadiri pelbagai siri perdebatan termasuk bersemuka dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.
“Kini, watak-watak seperti Isham Jalil, Lim Sian See, dan Puad Zarkashi menjadi ayam tambatan kepada pembangkang Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sering menyerang saya dan kerajaan, sedangkan mereka ini adalah penyokong kuat Najib yang partinya adalah sebahagian dari kerajaan Madani.
“Saya tahu watak-watak seperti ini mahu hadir kerana mereka membawa agenda tertentu. Mereka juga tahu saya terikat dengan tertib bersama dalam kerajaan, yang bermakna saya tidak bebas menyatakan sesuatu yang boleh menimbulkan kekeruhan dengan Umno, iaitu salah satu parti yang menganggotai kerajaan Madani,” katanya.
Justeru, Rafizi bersedia bersemuka dengan ketiga-tiga mereka di audio siarnya selepas mendapat maklum balas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga presiden Umno.
“Saya wajar menghormati pandangan mereka (Anwar dan Zahid), demi menjaga keutuhan kerajaan Madani.
“Jika mereka tiada halangan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See,” katanya.