Remaja jatuh sungai ketika petik ulam ditemui lemas

Remaja jatuh sungai ketika petik ulam ditemui lemas

Kejadian di Machang, Kelantan petang tadi berlaku ketika Mohd Irfan Abdullah, 13, menemani neneknya memetik ulam di tebing Sungai Bagan.

Mangsa, Mohd Irfan Abdullah, 13, ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika menemani neneknya mengutip ulam-ulaman, petang tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang remaja ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika menemani neneknya mengutip ulam-ulaman di tebing Sungai Bagan, Machang, petang tadi.

Mayat mangsa, Mohd Irfan Abdullah, 13, ditemukan oleh bapanya sendiri kira-kira 3.30 petang ketika bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat sambil dibantu penduduk kampung.

Menurut jiran mangsa, Nurul Asha Abd Rahman, 39, dia sebelum itu dikejutkan dengan kedatangan ibu Irfan yang memintanya menghubungi bomba selepas anaknya dihanyutkan arus deras.

Katanya, mangsa bersama nenek dan rakan kepada neneknya pergi ke tebing sungai itu yang terletak sejauh 50 meter dari rumah mereka.

“Irfan duduk bersama adiknya di tebing sungai hendak pergi ke tempat neneknya tetapi dilarang.

“Dia dikatakan sekali lagi cuba pergi ke arah neneknya sebelum tiba-tiba terjatuh dan dibawa arus sungai manakala rakan neneknya yang sedang memetik ulam juga turut sama hanyut,” katanya, menurut Sinar Harian.

Menurutnya, rakan kepada nenek mangsa sempat diselamatkan oleh pemancing di kawasan berhampiran tetapi mangsa terus hilang.

Katanya, mayat anak sulung daripada lima beradik itu akhirnya berjaya ditemui sebelum dihantar ke Hospital Machang.

Sementara itu, Penyelia Operasi, Hasri Hussin berkata, pasukan bomba melakukan pencarian di kawasan permukaan bersama orang awam.

“Mangsa dijumpai oleh bapanya sendiri yang turut sama dalam operasi ini. Dia disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.