
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Hakim K Muniandy bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat perkara yang dibangkitkan oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dalam representasi tersebut.
“Ia mengambil masa kerana kerumitan isu,” katanya.
Akram berkata SPRM cuba memanggil beberapa saksi untuk tampil dan keterangan mereka dirakam.
“Bagaimanapun, kebanyakan saksi tidak dapat tampil semasa kami memanggil mereka,” katanya.
Katanya, pendakwaan bersedia untuk meneruskan permohonan Rosmah untuk membatalkan tuduhan pengubahan wang haram itu pada 4 Julai ini.
Rosmah diwakili peguam Joshua Tay.
Rosmah, 72, mahu 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta, dan lima lagi tuduhan gagal mengisytiharkan cukai pendapatan kepada LHDN dibatalkan atas alasan ia cacat.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 hingga 8 Jun 2017.
Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos 2023. Setakat ini dua saksi memberi keterangan.