Rakyat mesti capai sasaran simpanan asas, kata CEO KWSP

Rakyat mesti capai sasaran simpanan asas, kata CEO KWSP

Ahmad Zulqarnain Onn berkata penyelesaian terbaik adalah tingkat caruman sukarela memandangkan sukar menambah kadar caruman wajib.

Ahmad Zulqarnain Onn berkata KWSP akan mencari kaedah memudahkan rakyat mencarum.
SHAH ALAM:
Kunci kesejahteraan kewangan terletak kepada matlamat mencapai simpanan asas persaraan apabila Malaysia menjadi negara menua kelak, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami mahu lebih ramai mencapai sasaran simpanan asas. Hanya ada satu cara sahaja untuk tujuan itu, dengan meningkatkan caruman yang mana mereka boleh melakukannya secara sukarela.

“Malangnya, ketika ini agak sukar melakukannya secara wajib,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn, sambil menambah Malaysia sedang menuju negara menua menjelang 2043.

Negara menua bermaksud 14% populasinya berusia lebih 65 tahun.

Zulqarnain berkata, strategi KWSP menangani masalah kekurangan simpanan – pencarum tidak cukup simpanan bagi persaraan – dan beliau menggalakkan rakyat berusaha mencapai sasaran simpanan asas persaraan.

“Strategi kita adalah mendidik masyarakat. Daripada perspektif tingkah laku kewangan, apabila seseorang mula dengan tabiat mencarum ke KWSP, mereka berkemungkinan besar tidak akan menukar tabiat itu.

“(Kami akan) mencari jalan memudahkan rakyat mencarum,” katanya pada sesi taklimat tahunan di ibu pejabat KWSP.

Beliau berkata, keadaan membimbangkan apabila hanya 17% ahli berusia 51 hingga 55 tahun mencapai simpanan asas persaraan.

Zulqarnain berkata, KWSP juga sedang mencari kaedah memperkukuh keselamatan persaraan melibatkan pekerja tidak formal memandangkan ia menjadi fenomena yang semakin berkembang.

Katanya, KWSP aktif mengadakan libat urus bersama kerajaan untuk merangka dasar yang akan meliputi sumbangan wajib bagi pekerja tidak formal atau pekerja gig, seperti p-panggilan.

“Terdapat bidang kuasa di seluruh dunia yang sebenarnya meliputi sektor itu. Malaysia belum ada namun tugas KWSP memudah cara bagi perubahan dasar seperti ini.

“Kami meneliti dan mengkaji amalan terbaik di seluruh dunia dan kami bekerja rapat dengan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, dalam pembentangannya Zulqarnain berkata, KWSP berdepan tiga cabaran dalam usaha menyediakan keselamatan persaraan kepada rakyat Malaysia. Tiga cabaran itu:

  • Ketidakcukupan simpanan menjurus ketidakpastian keselamatan pendapatan pada usia tua;
  • Majoriti golongan dewasa tidak dilindungi skim persaraan; dan
  • Ketidakpadanan antara pengeluaran penuh dan umur persaraan sebenar kerana jangka hayat lebih panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.