
Mereka berkata, pihak pendakwaan khususnya perlu memohon perintah pampasan bagi pihak mangsa kes bunuh, mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh, dan kematian akibat kecuaian, yang semuanya diiktiraf sebagai kesalahan serius di bawah Kanun Keseksaan.
Peguam S Jayananda Rao, N Sivananthan dan JS Naicker berkata, Kanun Prosedur Jenayah sudah membenarkan pendakwa raya memohon kepada mahkamah supaya orang yang disabitkan kesalahan membayar pampasan kepada mangsa dalam kes yang mengakibatkan kematian atau kecederaan.
“Memaksa pesalah menyumbang dari segi kewangan boleh bertindak sebagai pencegah kepada bakal pesalah,” kata Jayananda kepada FMT.
Tambahnya, berdasarkan laporan berita, jumlah kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu yang mengingkari undang-undang semakin meningkat.
Beliau mengulas cadangan Kementerian Pengangkutan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa.
Cadangan itu dibuat susulan kematian seorang penunggang motosikal di Klang yang dilanggar oleh pemandu yang didakwa berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan, mereka yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun, dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah berulang, melibatkan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun, dan denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
Jayananda berkata, tiada keperluan untuk meminda akta tersebut bagi memperuntukkan pampasan, kerana perkara itu sudah diliputi di bawah Seksyen 426 Kanun Prosedur Jenayah.
Seksyen 426(1A) dan (1B) memperuntukkan bahawa mahkamah boleh, atas permohonan pendakwa raya, memerintahkan pesalah agar membayar pampasan kepada mangsa atau waris mereka, jika mangsa telah meninggal dunia, bagi sebarang kecederaan atau kehilangan pendapatan mahupun harta benda.
“Peruntukan umum ini boleh diguna pakai apabila mahkamah mendapati tertuduh bersalah kerana menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa dalam nahas jalan raya,” kata Jayananda.
Sivananthan berkata, perintah pampasan tidak seharusnya terhad kepada kemalangan jalan raya sahaja kerana ia berisiko dilihat sebagai bersifat diskriminasi dan mungkin terdedah kepada cabaran undang-undang.
“Pihak pendakwaan harus memohon perintah pampasan setelah memperoleh sabitan bagi semua kesalahan,” cadangnya.
Peguam itu juga berkata, Seksyen 432 Kanun Prosedur Jenayah memberi kuasa kepada mahkamah untuk menetapkan tempoh masa pembayaran pampasan tersebut mesti dibuat.
“Bagaimanapun, mangsa yang terselamat atau keluarga mangsa perlu menguatkuasakan sendiri keputusan itu, yang mempunyai kuasa perundangan yang sama seperti penghakiman sivil,” katanya.
Sivananthan berkata, penguatkuasaan, termasuk dengan membekukan akaun peribadi pesalah atau penjualan dan penyitaan aset, mungkin memakan masa, tenaga dan sumber kewangan.
Katanya, kerajaan patut mempertimbangkan untuk meminda undang-undang bagi membolehkan keluarga mangsa dalam kes jenayah, termasuk kemalangan jalan raya, menuntut pampasan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pesalah.
JS Naicker, seorang peguam insurans, menjelaskan bahawa polisi insurans motor secara amnya mengecualikan liabiliti apabila pemandu didapati berada di bawah pengaruh alkohol.
“Bagaimanapun, pihak yang cedera, atau waris mangsa yang meninggal dunia, tidak akan dinafikan ganti rugi di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan polisi motor yang berkaitan jika mereka berjaya dalam tuntutan sivil,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan sedemikian, syarikat insurans akan menyelesaikan penghakiman itu dan seterusnya berusaha menuntut semula jumlah yang dibayar daripada pemilik kenderaan yang diinsuranskan.
“Jika cadangan kementerian itu dilaksanakan, pemandu mabuk tersebut mungkin terdedah kepada liabiliti kewangan berganda, iaitu, liabiliti peribadi untuk memberi pampasan kepada mangsa, serta kewajipan membayar balik syarikat insurans bagi sebarang jumlah yang telah dibayar.”