
Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal berkata, ahli perniagaan 51 tahun itu ditahan di Bayan Lepas susulan laporan seorang wanita 24 tahun yang juga pengurus besar sebuah syarikat baru-baru ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, wanita itu diperkenalkan kepada lelaki berkenaan oleh bapa angkatnya untuk melabur dalam syarikat suspek, di mana mangsa bersetuju dan membuat pemindahan wang RM240,000 selepas dijanjikan keuntungan RM50,000 sebulan.
Tetapi, katanya, wanita itu merasakan ditipu kerana hanya menerima RM1,000 sejak melabur Jun lalu, sebelum dia membuat laporan polis.
“Lelaki itu direman sehingga 17 Mac dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu tipu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu menggunakan wang dilaburkan mangsa untuk menjalankan projek baharu kerana projek minyak enjin tidak dapat dijalankan akibat masalah rundingan dengan kontraktor projek.