Naimah gagal dapatkan kembali pasport secara kekal

Naimah gagal dapatkan kembali pasport secara kekal

Pasport Naimah Khalid itu diserahkan sebagai sebahagian jaminan selepas didakwa gagal mematuhi notis pengisytiharan aset SPRM.

Naimah Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Jan lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset oleh SPRM.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Naimah Khalid untuk mendapatkan pasport secara kekal, sementara menunggu perbicaraan kes gagal mengisytiharkan aset.

Hakim Ahmad Bache dalam menolak permohonan itu berkata bahawa Mahkamah Sesyen tidak tersilap membuat perintah mengarahkan isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin itu supaya menyerahkan dokumen perjalanan sementara menunggu dibicara.

“Tindakan Hakim Mahkamah Sesyen sah, wajar dan tidak terdapat ketidakadilan yang berlaku. Mahkamah sahkan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen dan menolak permohonan ini,” kata hakim itu.

Pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian syarat jaminannya selain ikat jamin RM250,000.

Pada 23 Jan lalu, Naimah,66, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset oleh  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Wanita itu didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan Pulau Pinang serta dua kenderaan pada 13 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.