Hannah harap SPRM teliti isu surat layang FAM

Hannah harap SPRM teliti isu surat layang FAM

Surat layang yang tular di media sosial menuduh FAM terbabit dalam penipuan, salah guna kuasa, dan menyeleweng dana.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, beliau yakin SPRM akan melakukan yang terbaik untuk melihat isu-isu yang dibangkitkan dalam surat layang berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti isu surat layang membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pada Ahad lalu, tular satu surat layang di media sosial menuduh FAM terbabit dalam penipuan, salah guna kuasa, menyeleweng dana, dan isu berkaitan skuad Harimau Malaya dan projek pusat latihan kebangsaan.

Presiden FAM Hamidin Amin menolak tuduhan dalam surat layang berkenaan yang dianggap beliau sebagai satu fitnah dan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis.

Yeoh hari ini berkata, beliau yakin SPRM akan melakukan yang terbaik untuk melihat isu-isu yang telah dibangkitkan.

“Jika ada laporan, saya percaya Kementerian Belia dan Sukan akan hubungi SPRM untuk lihat apa langkah yang boleh dilakukan,” katanya lapor Bernama.

Yakin isu itu telah dijawab dalam Kongres Tahunan FAM ke-60 baru-baru ini, Hannah berharap agar FAM boleh menguruskan isu itu sekiranya ia berpunca dari masalah dalaman.

“Saya percaya FAM telah jawab (isu surat layang) tetapi saya tunggu.. kalau setakat surat layang memang susah.

“Dalam semua syarikat, tempat (kerja) saya percaya surat layang, itu satu kebiasaan tetapi kalau ada laporan yang dibuat yang itu kita akan ambil (tindakan).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.