Jemaah Menteri tak bincang tindakan terhadap Akmal, kata Fahmi

Jemaah Menteri tak bincang tindakan terhadap Akmal, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata tiada perbincangan khusus mengenai mana-mana individu ketika mesyuarat semalam.

Fahmi Fadzil berkata semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya tidak mengambil kesempatan atas isu stoking tertera kalimah Allah.
KUALA LUMPUR:
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri tidak membincangkan untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh atas kelantangannya terhadap kontroversi KK Mart berkait stoking tertera perkataan “Allah”.

Selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi amaran semalam supaya tidak mengambil kesempatan atas isu itu, Akmal dilaporkan berkata Agong tidak berkata secara terang-terangan bahawa boikot patut dihentikan.

Fahmi memberitahu pemberita hari ini, ketika Jemaah Menteri membincangkan tindakan terhadap mereka yang melanggar titah raja dan terus memanjangkan isu itu, tiada perbincangan khusus mengenai mana-mana individu ketika mesyuarat semalam.

“Kita tidak bincang khusus mengenai mana-mana satu individu, tapi ia adalah secara umum kepada semua,” kata menteri komunikasi itu ketika disoal sama ada Jemaah Menteri mempertimbangkan untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Akmal.

“Saya berpandangan kita perlu junjung titah Tuanku untuk…meredakan keadaan dan tidak menghasut rakyat.

“Jadi kalau mengingkari titah Tuanku, maka ada padahnya lah.”

Disoal mengenai tindakan sedang dipertimbangkan Jemaah Menteri terhadap mereka yang masih membangkitkan isu itu, Fahmi berkata ia diambil berlandaskan undang-undang”.

“Ada sejumlah akta yang boleh dikuatkuasakan. Jadi kita ikut saluran undang-undang,” katanya.

Sultan Ibrahim semalam menitahkan semua pihak berhenti mengambil kesempatan atas isu itu, termasuk menghasut orang awam, selepas berkenan menerima pengasas KK Mart, Chai Kee Kan, menghadap baginda.

Itu adalah kenyataan kedua baginda dalam tempoh seminggu selepas sebelumnya menegaskan isu itu seharusnya diselesaikan pihak berkuasa, dengan menekankan bahawa kemarahan berlarutan tidak menguntungkan sesiapa.

Kontroversi itu tercetus selepas gambar disebarkan di media sosial menunjukkan stoking tertera kalimah “Allah” dijual di KK Mart di Bandar Sunway pada 13 Mac lalu.

Syarikat itu kemudian memohon maaf manakala Chai dan seorang pengarah KK Mart didakwa atas tuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking berkenaan.

Tiga pegawai Xin Jian Chang Sdn Bhd yang membekalkan stoking itu kepada KK Mart turut didakwa.

Selain itu tiga premis KK Mart diserang bom petrol yang turut dikecam Akmal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.