
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihak kementerian akan terus mengadakan perbincangan tambahan dengan Perkeso bagi memastikan wartawan sambilan mahupun kontrak mencarum serta memperoleh manfaat daripada pertubuhan itu untuk menjamin keselamatan sosial pekerjaan mereka.
“Misalnya perbincangan dengan Perkeso untuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia — Perkeso dan Finas akan tandatangani memorandum persefahaman pada 23 April ini untuk aspek keselamatan sosial dimasukan dalam standard kontrak petugas pengambaran.
“Tugas pengamal media ini mencabar, memang terdapat keperluan terutama ‘stringer’ untuk mencarum dengan Perkeso… saya akan susuli dengan sedikit perbincangan tambahan untuk mendapatkan mekanisme yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi dan menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@Hawana kepada beberapa bekas petugas media di Ampang, Selangor.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin; dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Bernama selaku agensi pelaksana Tabung Kasih@Hawana, bersama Fahmi menziarahi serta menghulurkan bantuan kepada bekas penerbit rancangan RTM Jalil Mat Dom, 62; dan bekas juruhebah Suara Malaysia, Mohamed Ariff Esa, 76, di kediaman mereka sempena Ramadan dan Aidilfitri.