Anak maut, pistol ketua polis Lahad Datu dirampas

Anak maut, pistol ketua polis Lahad Datu dirampas

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Shahurinain Jais berkata tiada tangkapan dibuat dengan siasatan tidak temui unsur jenayah.

lahad datu
Polis Sabah klasifikasikan kematian anak perempuan ketua polis Lahad Datu sebagai mati mengejut (SDR).
PETALING JAYA:
Polis merampas pistol semi automatik jenis Walther P99 milik ketua polis Lahad Datu susulan kes kematian anak perempuannya, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Shahurinain Jais, berkata tiada tangkapan dibuat dan siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Sehubungan itu, katanya, kes diklasifikasikan kematian mengejut (SDR) dengan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Tiada tangkapan setakat ini disebabkan tiada unsur jenayah membabitkan orang lain dalam kes ini,” katanya kepada Berita Harian.

Shahurinain berkata, tiga saksi sudah memberi keterangan untuk membantu siasatan polis, namun enggan mendedahkan identiti mereka.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, dilaporkan berkata mangsa berusia 14 tahun ditemui kakaknya yang berusia 16 tahun, dalam keadaan berlumuran darah dalam sebuah bilik di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Beliau berkata, ketika kejadian bapanya, Dzulbaharin Ismail berada di Kinabatangan atas urusan pindah rumah susulan dinaikkan pangkat.

Dzulbaharin dilantik sebagai ketua polis Lahad Datu pada 1 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.