
PETALING JAYA: Seorang pemandu bas direman empat hari susulan kemalangan membabitkan 12 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe-Jalan Kluang di Batu Pahat, Johor semalam.
Sinar Harian melaporkan perintah reman terhadap lelaki 51 tahun itu dikeluarkan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas menerima permohonan polis di Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Kemalangan pada 10.40 pagi Khamis itu membabitkan sebuah bas yang melanggar dua lori dan sembilan kereta, di mana tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah dilaporkan berkata, bas itu dipercayai hilang kawalan akibat masalah brek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan, iaitu memandu secara melulu dan berbahaya.