Perketat penguatkuasaan ‘speed limiter’, pakar beritahu kerajaan

Perketat penguatkuasaan ‘speed limiter’, pakar beritahu kerajaan

Pakar keselamatan jalan raya berkata pengawasan dan pemantauan terhadap pemandu yang melanggar peraturan perlu dipertingkatkan secara berterusan.

kemalangan lori dan bas rawang
Seorang polis bantuan maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan tiga kenderaan membabitkan sebuah bas ekspres, lori bonded dan motosikal di KM441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Rawang, 11 Jan lalu.
PETALING JAYA:
Penguatkuasaan pematuhan pemandu terhadap peranti had kelajuan (SLD) perlu ditingkatkan bagi mengawasi pengendali kenderaan berat dan komersial dengan lebih berkesan, khususnya dalam mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kenderaan itu, kata pakar keselamatan jalan raya.

Pengasas Persatuan Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri, berkata biarpun kerajaan mewajibkan pemasangannya, masih ada pemandu yang degil dan enggan mematuhi had laju ditetapkan.

Katanya, tahap kesedaran pemandu mengenai pentingnya keselamatan jalan raya dan bahaya memandu laju juga masih rendah, sekali gus dikenal pasti antara punca utama berlaku kemalangan membabitkan kenderaan berat.

“Masih ada pemandu yang memandu melebihi had laju. Pengawasan dan pemantauan terhadap pemandu yang melanggar peraturan perlu dipertingkatkan secara berterusan.

“Pemeriksaan kenderaan secara berkala juga perlu dilaksanakan bagi memastikan SLD dan sistem pemantauan kelajuan sentiasa berfungsi dengan baik,” katanya.

Pada 11 Jan lalu seorang anggota polis bantuan maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan tiga kenderaan membabitkan sebuah bas ekspres, lori bonded dan motosikal di KM441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Rawang.

Kemalangan berlaku ketika bas bergerak di lorong kanan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan ia melintang di tengah lebuh raya.

Sebuah lori bonded dan motosikal dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri bas itu.

Mengulas lanjut, Jamil berkata penekanan juga perlu diberikan kepada tahap kesihatan dan kompetensi pemandu bagi memastikan keadaan fizikal serta mental mereka berada dalam keadaan baik untuk mengendalikan kenderaan berat terbabit.

“Syarikat juga perlu memantau aspek kesihatan, kelayakan dan jadual tugasan pemandu secara berkesan.

“Faktor keletihan, tekanan kerja dan tahap kelayakan pemandu tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung kepada keselamatan di jalan raya,” katanya yang turut menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan lebih berat terhadap pemandu yang berulang kali melanggar peraturan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, sebelum ini berkata penggunaan SLD ke atas kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan persiaran dikuatkuasakan secara berperingkat bermula 1 Okt lalu.

Katanya, penguatkuasaan yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan berat dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

Sebagai permulaan katanya, ia dilaksanakan kepada semua bas ekspres dan persiaran serta kenderaan barangan berat maksimum 3,500kg yang didaftar bermula 1 Jan 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.