
Zahid ditanya pemberita sama ada penularan video tersebut akan menjejaskan peluang calon DAP itu mempertahankan DUN Kuala Kubu Baharu.
“Kalau video lama memang banyak video begitu. Parti lain begitu juga. Ada video parti Islam minta sokong DAP itu boleh dimainkan,” katanya ketika ditemui di majlis Aidilfitri di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, Sri Satria petang tadi.
“Senario politik dah berubah. Pada hemat saya tutup buku lama buka buku baharu.”
Terdahulu, pada penamaan calon pagi tadi, Pang enggan melayan penularan ucapannya ketika berkempen sempena PRU15, menegaskan beliau kali ini tampil sebagai “calon kerajaan perpaduan”.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia, dan seorang calon bebas.
Pang akan mempertahankan kerusi itu daripada cabaran Khairul Azhari Saut (Bersatu), Hafizah Zainudin (PRM), dan Nyau Ke Xin.
Sebelum ini, MCA menegaskan ia tidak mahu terlibat dengan kempen di PRK Kuala Kubu Baharu, kerana terguris dengan “penghinaan” pemimpin DAP.
Pagi tadi, Zahid yang mengiringi Pang berkata BN menyokong penuh calon kerajaan perpaduan.
Pengundi Kuala Kubu Baharu akan memilih wakil rakyat mereka pada 11 Mei.