Tiada permohonan dari Kedah bina LRT di Langkawi, kata Loke

Tiada permohonan dari Kedah bina LRT di Langkawi, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata Kedah baru menandatangani MoU dengan firma Korea Selatan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek.

Kerajaan Kedah merancang membangunkan laluan LRT dari terminal feri Kuah ke Pantai Cenang sebelum meluaskan ke destinasi pelancongan lain di Langkawi secara berperingkat. (Bernama pic)
SUBANG:
Kerajaan Kedah masih belum menghantar permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) berhubung pembinaan LRT di Langkawi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata pengumuman kerajaan negeri baru-baru ini mengenai rancangan LRT tersebut hanyalah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan sebuah firma Korea Selatan untuk kajian kebolehlaksanaan projek seperti itu.

“Dari segi undang-undang mereka perlu memohon satu skim landasan kereta api daripada Apad, iaitu di bawah Kementerian Pengangkutan. Setakat ini belum ada permohonan untuk skim itu.

“Kalau ada tindakan seterusnya, sekiranya syarikat tersebut ada usaha sama, mereka boleh memohon skim itu daripada Apad,” katanya dalam satu sidang media.

Pada Isnin lalu, Exco Kedah Haim Hilman Abdullah dilaporkan berkata Permodalan Kedah Bhd had menandatangani MoU dengan firma Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD).

Katanya, kajian firma itu terhadap cadangan berkenaan akan siap dalam tempoh enam bulan.

Kerajaan Kedah merancang membangunkan laluan LRT dari terminal feri Kuah ke Pantai Cenang sebelum diperluas secara berperingkat ke destinasi pelancongan lain di pulau itu.

Sementara itu, Loke berkata operasi jet di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

“Kita sedang melakukan pengubahsuaian ketika ini dan ada sedikit penyesuaian di terminal,” katanya.

Beliau juga menggesa lebih ramai pelabur dalam industri aeroangkasa dan pemilik jet peribadi untuk menghantar jet mereka ke Malaysia untuk diselenggara, dibaiki dan dibaik pulih (MRO), selari dengan rancangan Malaysia untuk menjadi hab MRO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.