Mahaguru kickboxing Jerman jatuh cinta dengan silat

Mahaguru kickboxing Jerman jatuh cinta dengan silat

Alexandros Kamanis berkata silat mengajar tentang rasa hormat dan kemuliaan.

Alexandros Kamanis dan Antonia Eggeling berlatih silat di sekolah seni mempertahankan diri, Xtreme di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Pakar seni mempertahankan diri dari Jerman Alexandros Kamanis adalah seorang yang mesra tetapi beliau bukanlah calang-calang petarung.

Di gelanggang beliau terkenal dengan teknik yang menakutkan walaupun sering mengukirkan senyuman pada lawan.

Pelajarnya Antonia Eggeling turut mempunyai aura yang sama, berbeza dengan sikapnya ketika di gelanggang.

Kedua-dua mereka adalah wira kickboxing dan kini sedang mendalami silat, seni mempertahankan diri tradisi Melayu.

Kedua-dua mereka jatuh cinta dengan silat kerana latihan fizikal dan mental yang keras, serta budaya seni tradisi itu yang mementingkan kehormatan, kesetiaan, dan kemuliaan.

Alexandros Kamanis yang memegang tali pinggang hitam dalam beberapa disiplin seni mempertahankan diri menganggap latihan silat lebih sukar.

Kamanis, 50, dan Eggeling, 36, berada di Malaysia baru-baru ini untuk mendalami ilmu persilatan daripada AVS Bathi Allimuthu, bekas juara dunia kickboxing dan taekwondo.

Bathi, yang menubuhkan sekolah seni mempertahankan diri, Xtreme di Plaza Damas di Sri Hartamas, pemegang tali pinggang hitam peringkat sembilan, dan sudah melahirkan 24 juara dunia kickboxing dan taekwondo sejak 2006.

Bathi Allimuthu, memerhatikan pengasas taekwondo, Choi Hong-hi dalam satu seminar di Malaysia pada 1999 (kiri), dan bergambar dengan bekas jeneral tentera Korea Selatan. (kanan) (Gambar Bathi Allimuthu)

Penerima anugerah Grandmaster Antarabangsa Tahunan pada 2012 tidak menjalankan kelas silat tetapi menggunakan seni itu sebahagian daripada program rehat minda dan meditasi.

Sebagai petarung muda, Bathi memperoleh pembelajaran berharga daripada pengasas taekwondo, Choi Hong-hi, manakala Kamanis pula dibimbing mahaguru hapkido (judo, karate and aikido), Kim Sou Bong.

Mengapa memilih silat

Kamanis kali pertama bertemu Bathi di Sepanyol ketika menyertai kejohanan Kesatuan Kickboxing Dunia pada 2009, dan sejak itu beliau sudah berkunjung ke Malaysia sebanyak 13 kali sejak 2014 untuk mempelajari silat dan mengadakan bengkel seni mempertahankan diri.

Katanya, minatnya terhadap silat selepas melihat kokurikulum yang holistik dalam membina pertumbuhan mental dan fizikal, daya tahan dan pembangunan diri, dan rasa hormat.

“Saya juga tertarik dengan kuasa silat untuk memperkasakan warisan budaya dan artistik,” kata Kamanis yang memiliki sekolah mempertahankan diri, Sportschule Alex, di Dusseldorf, Jerman.

Kamanis memegang tali pinggang hitam dalam pelbagai disiplin seni mempertahankan diri, dan sekolahnya juga sudah mencatatkan kira-kira 200 gelaran dunia kickboxing dan Muay Thai sejak penubuhannya pada 2008.

“Jika dibandingkan dengan seni mempertahankan diri yang lain, silat lebih sukar dan latihannya lebih keras. Sama seperti kung fu apabila gerakannya diulang-ulang banyak kali,” kata Kamanis.

Katanya, gerakan dalam silat dicetak dalam ingatan, mencipta aliran semula jadi yang harmoni dengan memori otot.

“Lebih banyak aksi dilakukan, lebih tetap gerakan itu, bermakna anda mampu membuat sesuatu gerakan dengan lebih pantas dan tepat setiap hari.”

Katanya, Asia mempunyai fikiran berbeza mengenai seni mempertahankan diri.

“Di Eropah, mereka memilih seni mempertahankan diri kerana ia lebih menarik ketika bertarung, dan kurang berminat dengan silat kerana latihannya sukar dan tidak menarik ketika pertarungan,” katanya.

Bekas juara dunia kickboxing Antonia Eggeling berkata seni mempertahankan diri membantu beliau mengenali dirinya dengan lebih baik.

Dari penari hip-hop ke seni mempertahankan diri

Dahulunya seorang peminat tarian hip-hop, Eggeling kini antara petarung yang dihormati, dengan bimbingan Kamanis.

Dalam tempoh tiga tahun menjalani latihan keras di bawah Kamanis, Eggeling menjadi juara dunia Kickboxing pada 2018.

Eggeling berkata beliau pernah berlatih Taekwondo tetapi mahukan sesuatu yang mencabar fizikal dan mentalnya.

Antonia Eggeling dan Alexandros Kamanis memakai pakaian tradisi india ketika melawat Malaysia.

Beliau berusia 19 tahun ketika Kamanis memperkenalkannya kepada asas silat. “Selepas berehat panjang, kami rasa inilah masa yang sesuai untuk mendalaminya.”

Eggeling berharap disiplin, rasa hormat, keberanian, kerja keras, kesabaran dan keazaman yang diperoleh dalam ilmu persilatan akan membentuk kehidupannya di luar dunia seni mempertahankan diri.

“Ia bukannya mengenai pertarungan atau perasaan marah. Seni mempertahankan diri adalah untuk mengenali diri kita.

“Bagi saya ini adalah satu peluang untuk mengenali sisi diri saya yang tidak pernah saya kenali sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.