
Beliau berkata negara sumber itu adalah India, Sri Lanka, Filipina dan Indonesia yang dibenarkan bekerja susulan kelonggaran bersyarat secara sementara kepada sektor kesihatan swasta.
Menurutnya, setakat ini hanya 110 jururawat asing terlatih dibenarkan bekerja di Malaysia selepas melepasi Peperiksaan Kelayakan Jururawat Terlatih Asing Lembaga Jururawat Malaysia.
“Jumlah 110 orang itu bukanlah jumlah yang besar kerana kita tetapkan syarat ketat dalam pengambilan.
“KKM tidak mahu terima jururawat yang tidak berkualiti. Setakat ini, jururawat yang kita terima adalah dari India, Sri Lanka, Filipina dan Indonesia,” katanya menurut Berita Harian selepas Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di Putrajaya.
September lalu, Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kelonggaran bersyarat secara sementara kepada kemudahan kesihatan swasta untuk mengambil jururawat terlatih warga asing.
Dr Zaliha dilaporkan berkata, kekurangan tenaga kerja jururawat sudah lama dibangkitkan pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan ia harus segera diatasi.
Beliau juga menjelaskan, pengambilan jururawat terlatih warga asing bagaimanapun tidak boleh melebihi 40 peratus di setiap fasiliti dan sah bagi tempoh 12 bulan sahaja, iaitu sehingga 30 September 2024.
Pelanjutan perkhidmatan bagaimanapun dibenarkan selama 12 bulan lagi, namun perlu mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) Jururawat Terlatih Warga Asing.