Rampas 6 PDM bukti pengundi Melayu tolak sentimen perkauman, kata pemimpin Umno

Rampas 6 PDM bukti pengundi Melayu tolak sentimen perkauman, kata pemimpin Umno

Asyraf Wajdi Dusuki berkata enam PDM yang majoriti pengundi Melayu itu dimenangi PN pada PRN Ogos lalu.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki berkata kejayaan merampas enam PDM Melayu itu juga hasil kerjasama kukuh PH dan Umno pada kempen PRK Kuala Kubu Baharu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berkata pengundi Melayu telah sedar sentimen perkauman dan agama tidak lagi boleh dijadikan cagaran meraih undi mereka susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada pilihan raya itu PH selaku wakil kerajaan perpaduan merampas enam daripada lapan pusat daerah mengundi (PDM) majoriti pengundi Melayu yang pada PRN Ogos tahun lalu dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Tanpa menyenaraikan PDM terbabit, beliau menganggap kejayaan itu sebahagian kerja keras Umno sebagai rakan dalam kerajaan perpaduan.

“Ini membuktikan bahawa pengundi Melayu sudah berubah sikap dan mula menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman dan agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran untuk meraih undi.

“Malah mereka mula memahami bahawa kerajaan perpaduan terbangun atas titah Yang di-Pertuan Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama,” katanya di Facebook.

“Yang penting lanskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Pang Sock Tao yang mewakili PH menang dengan majoriti 3,869 undi selepas mendapat 14,000 undi pada PRK Kuala Kubu Baharu, semalam.

Beliau menewaskan calon PN Khairul Azhari Saut, Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.