
“Kebimbangan kami ialah keengganan Israel untuk bersetuju dengan cadangan ini kerana keangkuhan semata-mata dan kekejaman pencerobohan berterusan terhadap penduduk Gaza.
“Kami berharap AS boleh menggunakan pengaruhnya untuk memastikan Israel menghormati keputusan itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di Perbadanan Putrajaya.
Pada 2 Jun, pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir, dan AS menyeru Israel dan Hamas memuktamadkan perjanjian merangkumi prinsip digariskan AS untuk gencatan senjata berkekalan, lapor Agensi Anadolu.
Negara pengantara itu turut menekankan bahawa ‘perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis’.
Sebelum itu, Biden berkata Israel telah mengemukakan kepada Hamas, satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah dikepung berkenaan.
Beliau merayu kepada Hamas menerima perjanjian itu dan menggesa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menahan diri daripada tekanan ahli gabungan pemerintahannya yang menentang rancangan tersebut.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia menyokong cadangan gencatan senjata kekal itu dan telah membincangkannya di Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Beliau berkata, cadangan itu disifatkan munasabah untuk mendapatkan gencatan senjata segera.
“Apa yang penting ialah menghentikan pencerobohan dan penjajahan yang berterusan terhadap wilayah Palestin.
“Saya percaya berdasarkan perbincangan awal saya dengan pemimpin Hamas, mereka nampaknya lebih menyokong idea untuk mendapatkan keamanan kekal,” katanya.