Perdaya warga emas RM400,000, penganggur wanita mengaku tak salah

Perdaya warga emas RM400,000, penganggur wanita mengaku tak salah

Tertuduh didakwa memperdaya Ab Karim Hasan, 64, berhubung pertukaran seorang pegawai AADK Melaka ke Sabah atau Sarawak.

gavel
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan memperdaya seorang warga emas hingga menyebabkan lelaki itu kerugian lebih RM400,000.

Norhana Adam, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Wanita itu didakwa memperdaya Ab Karim Hasan, 64, bahawa seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka tidak wujud, ditahan dan akan ditukarkan ke Sabah atau Sarawak yang mendorong mangsa menyerahkan RM416,000 sebagai dorongan mengelakkan pegawai itu ditukarkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan dekat Stadium Hang Jebat di Melaka Tengah antara September 2023 hingga bulan ini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta boleh didenda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan RM30,000 dan seorang penjamin, tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana tidak bekerja dan menanggung ibu sakit.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Ogos ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.