Ambil alih MAHB: Pendirian Umno sama dengan PM

Ambil alih MAHB: Pendirian Umno sama dengan PM

Presiden Zahid Hamidi berkata komen timbalannya berhubung isu saham MAHB adalah pandangan peribadi.

Presiden Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih MAHB sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Presiden Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, komen timbalannya, Mohamad Hasan, semalam yang berharap penjualan saham MAHB kepada syarikat yang dikaitkan dengan firma pelaburan global, BlackRock, dikaji semula adalah ‘pandangan peribadi’.

“Pendirian Umno jelas… sama dengan perdana menteri,” katanya pada sidang media.

“Saya jumpa beliau (Mohamad) malam tadi dan beliau beritahu itu pandangan peribadi.”

Zahid yang juga timbalan perdana menteri mengiyakan bahawa isu berkait MAHB ini ada dibincangkan Jemaah Menteri, dan semasa mesyuarat pra majlis sidang Dewan Rakyat, dengan wakil rakyat kerajaan semalam.

Semalam, Mohamad dilapor berkata menteri dari Umno memberikan pandangan bahawa penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) tidak diteruskan, jika boleh, namun akui transaksi itu sudah terlampau maju.

Minggu lalu, dana pelaburan prasarana, GIP menegaskan BlackRock tidak terlibat dalam transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui konsortium Gateway Development Alliance (GDA).

Penjelasan itu menyusuli laporan bahawa Khazanah dan KWSP menerajui GDA, yang menawarkan mengambil alih MAHB.

Dua syarikat pelaburan berkait kerajaan itu berganding dengan GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia).

Sebaik tawaran sukarela prasyarat diselesaikan sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40%, manakala KWSP daripada 7.9% kepada 30%.

Pelabur Malaysia berkenaan secara kolektif akan memiliki 70% MAHB, manakala Adia dan GIP masing-masing memiliki baki 30%.

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khas dalam MAHB, manakala pengerusi serta CEO akan terus dilantik dalam kalangan warga Malaysia, menurut kenyataan konsortium berkenaan.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa Putrajaya membatalkan urusan itu ekoran kaitan GIP dengan BlackRock, yang mempunyai pegangan dalam syarikat-syarikat senjata Amerika Syarikat yang menghasilkan senjata yang digunakan oleh Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.