Guna penemuan audit tambah baik tadbir urus dana, HRD Corp diberitahu

Guna penemuan audit tambah baik tadbir urus dana, HRD Corp diberitahu

Persekutuan Majikan Malaysia berharap penemuan audit akan menjadikan HRD Corp lebih kukuh dalam tadbir urus dananya.

hrd corp
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman berkata, aspek kewangan HRD Corp yang stabil akan membantu memperkasakan semua program latihan modal insan diperlukan syarikat menjalankan operasi perniagaan di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
HRD Corp perlu mengambil langkah sewajarnya susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) untuk menambah baik tadbir urus dananya, kata Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman.

“Kami berharap penemuan audit ini akan menjadikan HRD Corp lebih kukuh dalam tadbir urus dana. Kami memerlukan orang lebih berkualiti dalam pengurusan, teknologi dan proses lebih baik.”

Syed Hussain mengulas penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai kelemahan dalam pengurusan HRD Corp dengan tawaran hartanah meragukan dan pelaburan berisiko tinggi.

Menurut laporan, PAC juga berkata, tiada wakil Bank Negara (BNM) dalam panel pelaburan itu yang bertentangan Akta Dana Pembangunan Sumber Manusia 2001.

Syed Hussain Syed Husman.

“Memandangkan dana semakin banyak, kami memerlukan lebih ramai orang berkaitan pelaburan yang cekap dalam jawatankuasa itu. Tindakan HRD Corp membolehkan mereka menubuhkan jawatankuasa pelaburan.”

Beliau berkata, menerusi pengurusan lebih baik dan memfokuskan latihan serta pembangunan HRD Corp, ia akan menjadi antara yang terbaik di dunia.

“Sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kami tidak menemui mana-mana negara yang menubuhkan dana sedemikian. Malaysia peneraju dalam pembangunan bakat ini.

“Justeru, HRD Corp boleh menjadi lebih baik dan contoh untuk pembangunan sumber manusia.”

Walaupun siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penemuan PAC itu, katanya, pujian harus diberikan kepada HRD Corp yang mencatatkan kedudukan kewangan stabil seperti diperakui dalam Laporan PAC 2/2024.

HRD Corp mencatatkan keuntungan terkumpul RM389.95 juta setakat 31 Dis 2022.

Syed Hussain berkata, aspek kewangan HRD Corp yang stabil akan membantu memperkasakan semua program latihan modal insan diperlukan syarikat menjalankan operasi perniagaan di Malaysia.

“Tahniah kepada pasukan pengurusan HRD Corp atas kejayaan ini dan kami di pihak majikan akan sentiasa bekerjasama untuk membangunkan ekonomi negara ini, terutama aspek memperkasakan modal insan yang menjadi antara teras utama perniagaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.