
Zahid berkata, enam kerusi tersebut sebelum ini milik Umno maka parti itu pasti bertanding sekiranya PRK diadakan.
“Dalam politik mana boleh takut nak bertanding,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau mengulas dakwaan pembangkang bahawa parti kerajaan takut kalah sekiranya pilihan raya diadakan di enam kerusi Parlimen itu, iaitu Bukit Gantang (disandang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal), Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Jeli (Zahari Kechik), Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim), dan Labuan (Suhaili Abdul Rahman).
Dakwaan itu menyusul keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, tidak mengosongkan enam kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.
Selasa lalu, Johari memutuskan enam Ahli Parlimen terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.
Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar, serta Zulkafperi, yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).
Berhubung status Suhaili, Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.
Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia, selain terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.