Zahid terbuka jawatan ‘Top 2’ dipertandingkan

Zahid terbuka jawatan ‘Top 2’ dipertandingkan

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata ia bergantung kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung Umno bulan depan.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden Umno Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan mengekalkan jawatan sepenggal lagi selepas Perhimpunan Agung Umno meluluskan usul supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi, berkata beliau terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan dalam pemilihan yang dijangka berlangsung pada 2026.

Pada tahun lalu, Zahid dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengekalkan jawatan mereka untuk sepenggal lagi selepas Perhimpunan Agung Umno meluluskan usul supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Zahid berkata keputusan mengenai perkara itu semuanya bergantung pada keputusan yang akan dibuat pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada bulan depan, lapor Berita Harian.

“Saya amat terbuka dalam perkara ini (jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan). Terdapat klausa (dalam perlembagaan Umno) yang mana pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan dan ini bermakna, ia bergantung pada keputusan yang akan dibuat dalam MKT serta PAU.

“Kita amat mematuhi apa yang tercatat dalam perlembagaan dan peraturan UMNO. Kita melihat situasi tahun atau tarikh yang akan ditentukan, dan tentunya seseorang calon tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian tetapi perlu bergantung pada sokongan perwakilan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Muar.

Semalam, Mesyuarat Perwakilan Umno Tenggara meluluskan tiga usul secara sebulat suara, termasuk menggesa jawatan presiden dan timbalan presiden parti dipertandingkan pada pemilihan yang dijangka diadakan dua tahun lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.