
Beliau menyatakan kebimbangan mengenai kadar penanaman semula yang rendah oleh pekebun kecil bebas, yang berjumlah kira-kira 450,000 dan mempunyai kawasan penanaman seluas 1.5 juta hektar.
“Penanaman semula kami mengalami penyusutan ketara. Berdasarkan piawaian industri, kami perlu menanam semula sebanyak 4.0 hingga 5.0%, tetapi purata nasional kami hanya kira-kira 1.8%,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kadar penanaman semula mengikut piawaian industri akan menambah lebih 2.5 juta tan kepada jumlah pengeluaran minyak sawit.
Johari berkata, memandangkan Malaysia mengikut piawaian minyak sawit mampan, negara tidak akan membuka kawasan baharu untuk perladangan, sebaliknya akan menumpukan hasil yang lebih tinggi bagi kawasan penuaian semasa seluas 5.7 juta hektar.
Litupan hutan Malaysia, iaitu 54% pada masa ini, tidak boleh berkurang di bawah 50% sebagai sebahagian daripada komitmen iklim negara, katanya.
Beliau berkata, Malaysia sedang melaksanakan beberapa inisiatif seperti tumpuan yang lebih besar kepada penyelidikan dan pembangunan, lebih banyak penanaman semula dan penyatuan pegangan daripada kalangan pekebun kecil untuk meningkatkan pengeluaran.
Malaysia mengeluarkan 18.6 juta tan minyak sawit pada 2023 berbanding kira-kira 20 juta tan sedekad lalu.
Sementara itu, Malaysia dan India membincangkan cara meningkatkan kerjasama dalam sektor minyak sawit.
Johari dan Menteri Pertanian India Shivraj Singh Chouhan bertemu pada Khamis untuk membincangkan peluang dalam bidang pertanian secara terperinci, termasuk kerjasama dalam usaha India yang dikenali sebagai Misi Kebangsaan bagi Minyak Makan – Kelapa Sawit.
Mengikut skim yang dilancarkan pada 2021 itu, India menyasar untuk memperluas kawasan penanaman kelapa sawit berlipat ganda sebagai sebahagian usahanya mengurangkan pergantungan minyak makan diimport.
Terdahulu, semasa persidangan industri, Johari berkata Malaysia boleh menyediakan kepakaran dalam meningkatkan penanaman kelapa sawit di India.
“Dalam usaha itu, Malaysia boleh menyediakan kepakaran dalam meningkatkan hasil tanaman, menukar tanah yang kurang dimanfaatkan kepada ladang kelapa sawit yang produktif, dan memupuk pertumbuhan penanaman kelapa sawit,” katanya.