
Pesawat khas yang membawa Modi dan delegasi beliau berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4.35 petang.
Menteri Sumber Manusia R Ramanan selaku menteri pengiring sepanjang lawatan hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Modi.
Beliau turut diberi penghormatan penuh istiadat termasuk kawalan kehormatan daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Kira-kira 100 pelajar, antaranya daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Dengkil dan Sekolah Menengah Sains Banting, mengibarkan bendera Malaysia dan India bagi mengucapkan selamat jalan kepada Modi.
Terdahulu, Anwar dan Modi menyaksikan pertukaran 11 memorandum persefahaman (MoU) serta dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara, pada majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Pada sidang media bersama, Anwar berkata Malaysia dan India akan terus memperkukuh kerjasama susulan naik taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Anwar berkata India merupakan rakan utama Malaysia dengan kerjasama yang semakin berkembang dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan pelancongan.
Hubungan ekonomi Malaysia-India menunjukkan momentum kukuh, menyaksikan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025.
Eksport Malaysia pula berjumlah RM52.3 bilion (USD12.24 bilion) dan import sebanyak RM27.19 bilion (USD6.35 bilion) dengan barangan eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import terutamanya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.