Industri E&E di Kulim rugi besar kerana masalah tenaga, PM diberitahu

Industri E&E di Kulim rugi besar kerana masalah tenaga, PM diberitahu

Sebanyak 73 gangguan berlaku dalam tempoh 3 tahun lepas, dengan 52% daripadanya menjejaskan pulangan ekonomi, menurut pemain industri.

Sesi dialog awam mengenai Belanjawan 2025 bersama pemain industri E&E diadakan di Kulim, Kedah hari ini, dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dikendalikan oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz. (Gambar Bernama)
KULIM:
Isu berkaitan tenaga menyebabkan kerugian ekonomi yang signifikan bagi industri elektrik dan elektronik (E&E) negara, khususnya di Kulim, dengan 73 insiden berlaku sejak tiga tahun lepas.

Ini perkara penting yang dibangkitkan semasa sesi dialog awam mengenai Belanjawan 2025 dengan pemain industri E&E, dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Syed Zainal Abidin Syed Tahir, pengerusi kilang semikonduktor SilTerra berkata, gangguan bekalan elektrik berlaku pada kadar yang tidak boleh diterima.

“Gangguan sebegini memudaratkan industri. Sebanyak 73 gangguan berlaku dalam tempoh tiga tahun lepas (di Kulim Hi-Tech Park), dengan 52% daripadanya menjejaskan pulangan ekonomi. Kita patut tuntut ganti rugi daripada siapa?

“Saya tak mahu salahkan sesiapa, tetapi pasti ada sesuatu yang boleh kita lakukan. Kita perlu bersama-sama bertindak,” katanya pada sesi yang dihadiri 70 wakil E&E daripada 52 syarikat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Anwar berkata, perkara itu akan dibangkitkan dalam Jemaah Menteri, manakala Tengku Zafrul berkata, beliau maklum tentang perkara ini.

Seorang pegawai Suruhanjaya Tenaga yang hadir pada mesyuarat itu mencelah dengan berkata, isu itu bukan mengenai gangguan bekalan tenaga semata-mata, tetapi lebih kepada kualiti tenaga. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan penjelasan lanjut.

NUR Power ialah syarikat utiliti tenaga eksklusif untuk Kulim Hi-Tech Park.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Wong Siew Hai menggesa agar kerajaan menambah pembiayaan untuk mengurangkan risiko pelaburan dan meningkatkan daya saing Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan pembiayaan untuk sekurang-kurangnya 20% daripada perbelanjaan modal industri, seperti yang dilakukan di negara lain.

Katanya lagi, pelajar asing yang menamatkan pengajian kejuruteraan di sini harus dibenarkan bekerja di negara ini.

Anwar menjawab, beliau terbuka kepada idea itu, tetapi ia hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada graduan tempatan tersedia. Katanya, kerajaan telah melonggarkan syarat kemasukan kepada banyak bakat asing dalam bidang IT.

Walaupun mengakui wujudnya kelemahan dalam ekosistem E&E di negara ini, berbanding negara Asia Tenggara lain, Anwar berkata, prestasi Malaysia dalam bidang-bidang lain lebih bagus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.