Kumpulan FB jual buah pinggang ‘ghaib’ susulan pendedahan FMT

Kumpulan FB jual buah pinggang ‘ghaib’ susulan pendedahan FMT

Kumpulan Facebook 'Mencari Penderma Buah Pinggang’ yang mempunyai 695 ahli tidak lagi boleh diakses selepas laporan disiarkan Isnin lalu.

Antara tangkap layar pengiklanan penjualan buah pinggang di kumpulan Facebook ‘Mencari Penderma Buah Pinggang’ yang kini tidak boleh lagi diakses.
PETALING JAYA:
Kumpulan Facebook yang menawarkan penjualan buah pinggang sejak Disember 2022 dengan harga mencecah RM500,000 bagi sebelah organ itu ‘ghaib’ selepas pendedahan FMT.

Berdasarkan pemerhatian, kumpulan FB ‘Mencari Penderma Buah Pinggang’ yang mempunyai seramai 695 ahli tidak lagi boleh diakses apabila laporan mengenainya disiarkan Isnin lalu.

Menerusi jawapan balas diberikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), tiada aduan berkaitan penjualan organ dalam talian pada 2022 dan 2023.

Bagaimanapun, pihaknya menerima dua aduan pada Julai lalu.

“Kedua-dua aduan tersebut sedang dalam penelitian SKMM untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada FMT.

Pada 5 Ogos lalu, FMT melaporkan pakar perubatan menggesa kerajaan menyiasat penjualan buah pinggang berharga hingga RM500,000 di media sosial.

Bekas pengarah kesihatan Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata beliau bimbang melihat ‘pengiklanan’ penjualan salah satu organ terpenting badan itu dibuat tanpa kawalan dan terbuka.

Ada antaranya mahu menjual buah pinggang RM10,000 hingga RM500,000 dengan memberi alasan terdesak memerlukan wang tunai untuk membayar hutang.

Mengulas lanjut, SKMM turut memaklumkan pihaknya sentiasa proaktif menjalankan pemantauan terhadap kandungan dalam talian yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memastikan persekitaran internet di Malaysia selamat untuk rakyat.

“Selain itu, SKMM peka terhadap penyalahgunaan platform media sosial bagi tujuan aktiviti menyalahi undang-undang negara dan dalam hal tersebut mengambil tindakan penguatkuasaan berdasarkan aduan diterima daripada orang awam dan agensi penguatkuasaan berkaitan,” katanya.

Justeru, SKMM menggesa orang ramai sentiasa berwaspada dan melaporkan aktiviti mencurigakan serta menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa bagi memastikan persekitaran digital selamat dan terjamin.

“Sebarang aktiviti melanggar undang-undang negara akan didakwa dan dihukum berdasarkan undang-undang berkaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.