Pocket Rocketman terkandas acara pecut

Pocket Rocketman terkandas acara pecut

Mohd Azizulhasni Awang menduduki tempat ketiga pusingan repechages 1/8 sekali gus gagal ke suku akhir.

Mohd Azizulhasni Awang
Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang berkata beliau kini mahu memfokuskan pada acara keirin. (Gambar AP)
PARIS:
Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang menamatkan saingan acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024 pada pusingan 1/8 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome, malam tadi.

Beliau tidak layak ke suku akhir selepas menduduki tempat ketiga pusingan repechages 1/8, ketinggalan 0.190s di belakang Mateusz Rudyk dari Poland yang mencatatkan 9.966 saat, manakala Mikhail Yakovlev dari Israel (+0.0543) kedua.

Hanya pemenang saringan kedua akan mara ke suku akhir.

Terdahulu, The Pocket Rocketman terpaksa beraksi dalam repechage selepas tewas kepada Jeffrey Hoogland (9.772s) dari Belanda dengan ketinggalan +0.037s pada saringan 6 pusingan 1/8.

Azizulhasni memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 9.402s untuk menduduki tempat ke-10 pusingan kelayakan, mengatasi rekod 9.523s dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.

Bercakap kepada Bernama selepas perlumbaan, pemenang pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo 2020 itu berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan permulaan kempen kali ini selepas berjaya mencapai catatan masa dimahukan pada pusingan kelayakan.

“Perancangan awal kita adalah untuk berlumba satu demi satu pusingan. Saya gembira dapat kalahkan Luca Spiegel dari Jerman dan Hamish Turnbull dari Great Britain.

“Perancangannya untuk kalahkan Hoogland tapi sebaliknya. Ia merupakan satu perlumbaan yang hebat dari segi teknikal dan taktikalnya cuma saya tidak cukup laju.

“Ketika pusingan repechage, John Beasley berkata simpan tenaga untuk keirin. Jika ke pusingan repechage akan berdepan dengan pelumba-pelumba hebat seperti Harrie Lavreysen (Belanda) di suku akhir dan saya membazir tenaga. Saya akan simpan tenaga untuk perlumbaan seterusnya pada 8 malam esok.”

Terdahulu, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak mara ke pusingan 1/16 selepas menghadapi cabaran sukar daripada Yakolev di pusingan 1/32 acara berkenaan.

Shah Firdaus kemudian turut gagal menebus kekecewaan di pusingan repechage 1/32 apabila sekadar menduduki tempat kedua dalam saringan ketiga di belakang pelumba Lithuania Vasilijus Lendel mara ke pusingan 1/16.

Azizulhasni dan Shah Firdaus seterusnya akan turun beraksi dalam acara utama, keirin bermula Sabtu ini, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan beraksi dalam acara pecut wanita bermula Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.