
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, berkata ia seolah-olah berlaku percanggahan pandangan PN pusat dan Pahang.
“Hamzah (Zainudin) berkata Bersatu akan teliti dengan halus, tapi Tuan Ibrahim (Tuan Man) kata semua Adun PN Pahang beri sokongan kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mahu Muhyiddin disiasat.
“Pengerusi PN Pahang berhemah dan bersopan, tapi ‘bos besar’ PN pula degil,” katanya di Facebook.
Puad berkata, tiada keperluan untuk setiausaha agung PN meneliti isu ucapan tersebut ‘secara halus’ memandangkan kemurkaan sudah diluahkan Tengku Mahkota Pahang.
“Peliharalah institusi raja Melayu. Sampai masanya Hamzah mendesak Muhyiddin undur diri,” katanya.
Semalam, Hamzah berkata penelitian secara halus sedang dibuat Bersatu terhadap ucapan Muhyiddin, namun memberi kepercayaan penuh bahawa presiden akan menghormati lunas perundangan negara untuk hadir merakam keterangan pada masa dijadualkan.
Sebelum itu, PN Pahang berkata ia menyokong titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Muhyiddin agar siasatan adil dijalankan.
Terdahulu, tular ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16, sambil mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput menghadap baginda untuk memilih perdana menteri.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan ucapannya ketika kempen PRK Nenggiri hanya kenyataan fakta, selain membangkitkan jumlah akuan berkanun (SD) yang didakwanya mencukupi untuk dilantik menubuhkan kerajaan pasca PRU15.
Hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu menyerahkan beberapa dokumen kepada polis termasuk SD daripada 115 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya sebagai perdana menteri.
Siasatan terhadap Muhyiddin dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kerana didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan 3R (kaum, agama, dan raja).