Kartel tipu tuntutan Perkeso: 33 termasuk 3 doktor direman

Kartel tipu tuntutan Perkeso: 33 termasuk 3 doktor direman

Semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mahkamah Majistret George Town membenarkan 33 individu termasuk tiga doktor direman bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam kartel tuntutan palsu hilang upaya Perkeso berjumlah RM2.1 juta.
PETALING JAYA:
Seramai 33 individu termasuk dua doktor hospital kerajaan dan seorang doktor swasta direman bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam kartel tuntutan palsu hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Tiga doktor itu direman dua hari bermula hari ini selepas Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret George Town hari ini.

Manakala 29 lagi orang awam terdiri daripada pekerja swasta, ejen dan ‘runner’ pula direman tiga hari sehingga Jumaat ini dan isteri kepada seorang ejen pula direman sehari, lapor Berita Harian.

Semua suspek berusia 26 hingga 60 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan tiga doktor yang ditahan itu masing-masing bertugas di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya serta sebuah hospital swasta di Butterworth.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang mengesahkan penahanan itu berkata suspek lain terdiri daripada pencarum Perkeso, lapan ejen, pegawai perubatan dan dua ‘runner’ itu ditahan dalam siri serbuan pihaknya baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.