
Bekas perdana menteri itu berkata Malaysia memikul tugas penting di tengah-tengah cabaran isu semasa yang semakin mencabar di peringkat serantau dan antarabangsa.
Menurutnya, China boleh memainkan peranan penting melalui kerjasama dialog antara Asean-China, Asean 10+ dan Forum Serantau Asean Regional (ARF) pada sidang kemuncak itu.
Ismail yang juga penaung Persatuan Muafakat One Belt One Road Malaysia (PMOBOR) kini dalam lawatan kerja ke China sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Selaku NGO, PMOBOR sentiasa menghulurkan tangan untuk turut mempromosi kerjasama antara Malaysia dan China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dalam Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan serta Pertukaran Pembangunan dan Jalinan Rangkaian di Haidian, Beijing, semalam.
Terdahulu, Presiden PMOBOR, Iskandar Sarudi mewakili Ismail merasmikan Pejabat Pusat Kerjasama Perdagangan Kebudayaan Antarabangsa (ICTCC)-PMOBOR di Zon Ekonomi Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing.
Mengulas perkembangan itu, Ismail berharap masyarakat perdagangan Malaysia dan China mengambil peluang mempromosi produk masing-masing, khususnya produk halal dalam usaha meningkatkan dagangan dua hala.
“Harapan saya juga agar negara Asean menggunakan platform ICTCC untuk mempromosi produk mereka secara online atau offline.
“Saya juga sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan hubungan ini dan melihat kedua-dua negara komited meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, khususnya di bawah Belt and Road Initiatives (BRI).”