Kurangkan penerbangan beri MAS manfaat jangka panjang, kata penganalisis

Kurangkan penerbangan beri MAS manfaat jangka panjang, kata penganalisis

Pakar berkata pengurangan penerbangan akan mengurangkan tekanan pada penyelenggaraan yang padat dan membolehkan syarikat itu memberi perkhidmatan lebih berkualiti.

malaysia airline
Jadual yang lebih realistik oleh Malaysia Airlines akan mengurangkan masalah kelewatan penyelenggaraan pesawat, menurut pakar penerbangan. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Sejak beberapa minggu lalu masalah yang membelenggu Malaysia Airlines mendapat liputan meluas media, membangkitkan persoalan mengenai kemampuan syarikat penerbangan nasional itu untuk menempuh satu lagi episod bergelora dalam sejarahnya.

Menambah kebimbangan adalah keputusan Malaysia Airlines untuk mengurangkan penerbangan dan laluan atas alasan ‘isu teknikal’. Bagaimanapun, pakar penerbangan berpendapat perkara itu tidak membimbangkan kerana ia akan memberi manfaat dalam jangka panjang.

Penganalisis dan perunding penerbangan, Brendan Sobie, berkata Malaysia Airlines adalah salah satu daripada banyak syarikat penerbangan yang menghadapi masalah tenaga kerja dan rantaian bekalan, kekurangan pesawat, dan kelewatan penghantaran.

“Mereka berdepan dengan masalah ini agak lama, tetapi situasinya menjadi lebih buruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya dalam wawancara dengan Astro Awani.

Katanya, syarikat penerbangan itu terpaksa menggunakan banyak pesawat lama melebihi jangka hayat operasi yang ditetapkan kerana kelewatan penghantaran pesawat baru dan masalah lain.

Ini bermakna syarikat tersebut beroperasi dengan pesawat lama ketika penggunaan pesawat adalah tinggi, tambahnya.

Beliau menjelaskan kesan langsung daripada memaksa pesawat lama beroperasi dengan lebih kerap ialah ia cenderung untuk ‘rosak’ lebih kerap, menyebabkan lebih banyak ‘pesawat di darat’ atau penyelenggaraan tidak berjadual.

Pakar penerbangan, Germal Singh Khera, berkata mungkin Malaysia Airlines menghantar enjin pesawat ke luar negara untuk diselenggara dan tidak dihantar kembali mengikut jadual.

“Mungkin kelewatan mendapatkan enjin itu disebabkan oleh kekurangan alat ganti dan peralatan sokongan yang lain,” katanya, tetapi menambah ini adalah masalah yang dihadapi industri itu di seluruh dunia.

Germal yang juga bekas pengurus kanan di Malaysia Airlines dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, berkata adalah perkara biasa bagi syarikat penerbangan – termasuk Malaysia Airlines yang mempunyai kemudahan penyelenggaraan dan baik pulih mereka sendiri – untuk menghantar enjin ke luar untuk dibaiki dan dibaik pulih.

Tiada kompromi mengenai keselamatan

Beliau juga menolak tanggapan bahawa Malaysia Airlines mungkin tidak mengikut prosedur untuk mengekalkan operasi pesawatnya dan jadual penerbangan.

“Malaysia Airlines tidak akan berkompromi dengan keselamatan, ia hanya menghadapi beberapa masalah penyelenggaraan dan mekanikal sahaja,” katanya,

Germal berkata audit tetap oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa terhadap operasi syarikat penerbangan dan penyelenggaraan berkesan mencegah sebarang cubaan untuk memintas prosedur.

Sobie berkata keputusan Malaysia Airlines mengurangkan perkhidmatan adalah langkah jangka pendek yang akan memberi manfaat kepada syarikat itu dalam jangka panjang.

“Ia membuat pemotongan kapasiti besar-besaran dan cuba mengurangkan tekanan, jadi sekarang jadualnya lebih realistik dan tidak seharusnya menghadapi banyak masalah,” katanya.

“Kebanyakan isu operasi yang dihadapi dapat diselesaikan dalam beberapa bulan akan datang apabila pesawat dapat kembali beroperasi semula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.