Mayat bayi bawah lantai simen, polis akan minta bantuan Interpol

Mayat bayi bawah lantai simen, polis akan minta bantuan Interpol

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata polis akan menggunakan saluran diplomatik sekiranya suspek wanita warga Indonesia itu sudah pulang ke negara asal.

mayat bayi
Mayat bayi perempuan itu ditemui ditanam di bawah lantai simen oleh seorang lelaki ketika mahu mengubah suai rumah yang baru disewanya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis akan menggunakan semua saluran termasuk meminta bantuan Interpol bagi menjejaki seorang wanita warga Indonesia berhubung kes penemuan mayat bayi yang ditanam di bawah lantai simen di sebuah rumah di Ipoh, Perak, bulan lalu.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata ketika ini pihaknya belum dapat mengenal pasti lokasi wanita itu yang juga penyewa terakhir rumah berkenaan, sama ada masih di Malaysia atau sudah pulang ke negara asalnya.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti imigresen selain menggunakan semua risikan kita (untuk mengesan suspek).

“Kalau kita kenal pasti subjek itu sudah balik (ke negara asal), maka kita akan menggunakan saluran diplomatik melalui Interpol,” katanya menurut Berita Harian.

Media pada 28 Ogos lalu melaporkan, seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun membuat laporan polis terjumpa mayat bayi di bawah lantai simen ketika mahu mengubah suai rumah yang baru disewanya.

Ketika mengorek simen ruang tempat letak kereta, lelaki itu menjumpai cebisan kain sarung dan jasad kecil di dalam kain tersebut.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata berdasarkan keterangan pakar patologi mayat bayi perempuan dipercayai berusia tujuh bulan ketika dilahirkan itu tidak mempunyai sebarang kecederaan.

Katanya susulan penemuan mayat itu polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang pernah menyewa rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.