
“Integriti sistem penjagaan kesihatan adalah penting, dan sebarang salah guna kepercayaan oleh pengamal perubatan adalah perkara serius,” kata Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata MMA memberi sokongan penuh kepada semua pihak berkuasa berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh terhadap perkara tersebut.
“Semua pihak yang disoal siasat atau disiasat harus dilayan dengan adil dan diberikan peluang untuk perbicaraan yang adil,” katanya.
Pada 4 Sept lalu, tiga pakar tulang dilaporkan antara 33 individu yang direman untuk membantu siasatan SPRM terhadap kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso yang melibatkan RM2.1 juta. Ia melibatkan 30 orang terdiri daripada 19 penuntut, lapan ejen, dan tiga ‘runner’.
Dua doktor pakar tulang berusia 43 dan 50 tahun bertugas di sebuah hospital kerajaan di Seberang Jaya manakala seorang lagi doktor dari sebuah hospital swasta.
Keesokan harinya, dua lagi doktor direman kerana aktiviti mereka dalam kartel tersebut, yang didakwa aktif sejak 2017.
Difahamkan bahawa tuntutan palsu tersebut berkaitan dengan kecederaan tulang belakang dan kecederaan ‘ligamen anterior cruciate’ (ACL) pada lutut.
Semua suspek berusia 26 hingga 60 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.