
Beliau yang juga menteri kewangan berkata perkara itu bagaimanapun tidak sama sekali menjejaskan hubungan sedia ada dengan rakan dagangan tradisional Malaysia termasuk Asean, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun kita mendekati China kerana keupayaan dan kekuatan ekonomi China lebih segar-bugar sekarang, dan mutakhir dengan Rusia, kerana keupayaan Rusia dalam beberapa bidang teknologi, (antaranya) aeroangkasa, tenaga, nuklear yang jauh lebih pantas, (tetapi) kita kekal dengan sahabat-sahabat tradisional kita termasuk, Asean, Eropah dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (Pikas 2030).
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Perdana menteri berkata, pengiktirafan terhadap negara juga terus diperkukuh apabila Setiausaha Perdagangan AS Gina M Raimondo menerusi sepucuk surat hari ini menyatakan penghargaan atas kerjasama Malaysia yang membolehkan mereka melabur melalui pengeluar pesawat utamanya, Boeing.
“Ini (penghargaan) kerana mereka yakin keupayaan dasar kita walaupun kadang-kadang ada yang bimbang kerana ada sedikit anjakan dari segi dasar luar,” katanya.
Boeing pada 29 Ogos lalu menamakan semula kilang pembuatan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, sebagai Boeing Composites Malaysia.
Syarikat itu dilaporkan membeli sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama dengan syarikat bahan industri awam Hexcel Corporation, pada Disember 2023.
Kilang itu menyediakan produk komposit dan subpemasangan untuk semua model pesawat komersial Boeing termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner, dan merupakan kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara.
Boeing menggaji kira-kira 1,000 orang pekerja yang semuanya merupakan rakyat Malaysia untuk bekerja di kemudahan itu.
Sementara itu, Anwar berkata konsep ‘centrality’ penting sebagai tonggak utama dari segi dasar luar yang perlu disusuli dengan pendekatan pragmatik untuk memastikan tumpuan diberikan kepada keamanan dan keselamatan negara.
“…dan lebih utama negara ini harus menyiapkan anak-anak muda kita dalam bidang kemahiran terutama dalam beberapa disiplin baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan digital termasuk menguasai bidang transisi tenaga,” katanya.