Ahli Parlimen PN tolak MoU peruntukan, Fadillah kata tunggu surat rasmi

Ahli Parlimen PN tolak MoU peruntukan, Fadillah kata tunggu surat rasmi

Timbalan perdana menteri berkata selepas itu keputusan penolakan akan dibawa ke Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan bagi langkah seterusnya.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menghormati keputusan wakil rakyat PN, namun tidak dinyatakan cadangan balas memandangkan ia masih draf MoU.
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata beliau akan merujuk semula keputusan sebulat suara Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan selepas mendapat maklum balas rasmi secara bertulis.

Fadillah menekankan bahawa MoU berkenaan merupakan draf dan gabungan itu tidak menyatakan cadangan balas bagi pertimbangan untuk dibawa kepada perundingan.

“Tapi apa pun saya menghormati pandangan mereka dan saya menunggu secara hitam putih daripada mereka secara bersurat.

“Bila dah ada nanti saya akan bawa ke peringkat Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dan kita akan bincang semula sama ada akan terus berunding atau pun adakah ini muktamad pada pihak pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis di Betong, Sarawak.

Awal hari ini, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, berkata Ahli Parlimen PN (MoU) daripada kerajaan berkait peruntukan kepada wakil rakyat atas empat sebab fundamental penolakan.

Antaranya didakwa bertentangan Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, alasan penolakan lain seperti syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan, draf MoU tersebut tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas.

Selain itu, draf berkenaan turut mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.